jump to navigation

Dari Hal Mumia dan Anak January 9, 2009

Posted by ahmadzulfikar in artikel.
Tags:
trackback

oleh Sam Ahmad

Menurut seorang rakan – bercerita tentang apa yang ditontonnya dalam rancangan National Geographic, sebelum diketahui tentang mumia – seperti kini, pihak kolonial yang menjumpainya satu ketika dahulu telah menjadikan mumia-mumia ini sebagai bahan bakar. Ini disebabkan, ianya mudah bakar.

Amalan mengawetkan mayat sebagai mumia ini bermula sejak beberapa ribu kurun yang lampau. Amalan ini menjadi kegilaan firaun-firaun Mesir dan segala bangsawan yang berada di bawah tampuk kekuasaannya. Tujuannya, adalah untuk mengekalkan bentuk dan rupa sebenar mereka yang dimumiakan tersebut.

Tanpa kita sedari, kegilaan firaun-firaun ini sebenarnya telah menjadi kegilaan kebanyakan manusia dan ia juga telah mempengaruhi manusia masa kini. Berapa banyakkah dari kita ingin mempunyai mumia. Mumia dari diri mereka sendiri. Terutamanya para ibu bapa ingin menjadikan anak-anak mereka sebagai mumia.

Kebanyakan ibu bapa, mahukan anak-anak mereka menjadi seperti mereka, baik dari segi luaran mahupun dari hal dalaman. “Ayah nak kamu jadi macam ayah. Berjuang demi negara,” kata seorang pejuang kemerdekaan kepada anaknya.

“Mereka tu, bukan macam kita dulu, rambut je sama (terpacak), tak bertegur sapa pun,” seorang orang tua bercakap dengan rakan lamanya mengenai anak-anak zaman sekarang.

Bagi mereka yang kuat agamanya dan mengikuti jemaah-jemaah seperti tabligh, al-Arqam, tarekat Naqsyabandi atau mana-mana ajaran, juga berkehendakkan anak mereka mengikuti jemaah-jemaah seperti yang mereka ikut. Akhirnya, anak-anak tak mampu nak buat keputusan sendiri dan menentukan nasib hidupnya secara sendiri.

Berapa banyak anak-anak yang dikatakan derhaka apabila tidak menyertai parti yang bapa atau ibu mereka ikut. “Kamu kena masuk PAS, macam bapak. Kalau masuk PAS nanti dapat masuk syurga.” kata seorang pengikut PAS kepada anaknya.

“PAS tu Parti Ajaran Sesat, baikla kamu masuk UMNO, UMNO dah bagi pembangunan kepada negara. Kalau tak disebabkan UMNO, tak dapatlah kamu hidup macam sekarang ni.” ini pula dialog yang mungkin diucapkan oleh seorang ahli UMNO kepada anaknya pula.

Kesimpulannya, kebanyakan ibu bapa mahu anak mereka jadi seperti mereka. Atau kalau tidak pun, mahu seperti yang mereka sendiri mahu. Apabila seseorang remaja itu, mencapai usia dewasa dan mampu hidup dengan sendiri, maka berilah mereka peluang untuk hidup dengan sendiri. Ibu bapa, hanya ada kuasa menasihat, dan mereka tidak boleh mengharapkan yang nasihat mereka itu akan dituruti. Tergantung pada anak itu sendiri sama ada mahu mengikuti kata ayah atau ibunya.

Dan terpulanglah kepada anak-anak untuk mencari baik buruk dari nasihat yang diberi. Sebagai seorang ibu bapa, seharusnyalah mereka menghormati keputusan anak-anak, walaupun mereka tahu ianya pasti keputusan terburuk bagi anak-anak mereka itu. Mungkin dari situ akan berlaku suatu proses pembelajaran bagai pihak anak-anak, dan melalui keputusan buruk yang mereka ambil itu, akan timbul kesedaran dan lama kelamaan, mereka akan matang dengan hidup.

Bukankah “latihan itu akan menyempurnakan manusia?” Maka anggaplah mereka sedang melatih diri mereka. Akhirnya, dengan harapan dan doa ibu bapa, pasti mereka akan menjadi manusia berguna juga. Ini mungkin rintihan penulis sebagai seorang anak yang tidak lagi menghadapi masalah dan menjadi seorang ibu atau bapa. Mungkin sekarang ini penulis tidak fahami apa yang mereka mahu. Mungkin juga sekarang ini, penulis tidak fahami apa yang orang-orang tua selalu katakan, “orang tua makan dulu garam dari orang muda.”

Tetapi ini mungkin juga rintihan penulis sebagai anak. Sudah cukup rasanya untuk menjadikan para anak kita sebagai mumia. Sebagai diri kita sendiri. Mengekalkan diri kita dalam bentuk anak kita. Cuma apa yang penulis harapkan sekarang, penulis menginginkan anak yang lebih baik dan lebih berguna pada rakyat berbading diri penulis sendiri. Jika penulis hanya berkerja sebagai penulis luar di salah sebuah majalah hiburan, penulis mahu akan anak yang berkerja lebih besar dari penulis. Pekerjaan proffssional, doctor, peguam atau arkitek. Atau paling kurang menjadi editor untuk majalah terkemuka di egara ini.

Penulis tidak mahu memumiakan diri penulis sendiri kepada anak penulis. Kerana pada penulis, yang mati biarkan terus mati dan yang hidup biarkan terus hidup. Maka amalan kolonial seperti yang penulis katakan pada awal penulisan ini – membakar mumia-mumia, adalah amalan yang paling baik.

Comments»

No comments yet — be the first.